[Jika anda mempunyai manuskrip dan berminat untuk menerbitkan buku bersama CETUSAN IDEA PUBLICATIONS, sila layari http://ideapublications.blogspot.com]Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.
Semoga Tuan dan Puan berada dalam keadaan sihat dan walaifiat serta sentiasa dikurniakan dengan keberkatan rezeki setiap masa. Semoga hari ini lebih baik daripada semalam dan sebaik-baik hari ialah hari kematian kita iaitu apabila malaikat maut datang menjemput kita menghadap Yang Maha Pencipta. Pada kali ini, saya ingin berkongsi bersama dengan anda semua mengenai ‘Royalti dan Honorium Penulisan’. Sebelum ini, saya puas mencari mengenai berapakah royalti atau honorium penulisan bagi seseorang penulis sehinggalah saya menjumpai perkara ini di dalam buku Menjadi Penulis Jutawan tulisan Nimoiz T Y. Menarik juga untuk kita berkongsi bersama mengenai perkara ini.
“Idea yang terlintas dalam fikiran janganlah disimpan, sebaliknya pindahkanlah ke dalam bentuk penulisan yang mungkin idea baru yang tidak terfikir oleh orang lain. Inilah langkah pertama untuk menjadi penulis.” Norizan Muslim
Apabila disebut royalti atau honorium penulisan, ia merupakan salah satu sumber pendapatan pasif di mana wang yang bekerja untuk anda. Tidak kira anda buat setiap hari, setiap bulan hatta setiap tahun sekalipun, duit tetap masuk ke dalam poket anda. Bak kata penulis terkenal iaitu Zamri Mohammad, “Buat buku sekali, dapat duit berkali-kali.” Berlainan pula dengan pendapatan aktif, anda perlu bekerja untuk mendapatkan wang. Sekiranya anda tidak bekerja, wang tidak akan masuk ke dalam poket anda.
Menulis juga dapat menjana pendapatan pasif kepada kita semua selain bidang hartanah, pelaburan tetap dan sebagainya. Ia juga dapat memberi pulangan yang lumayan kepada sesiapa yang menceburinya. Setiap sesuatu pasti ada ranjaunya. Sekiranya anda gagal dalam bidang penulisan, teruskan usaha anda lagi. Orang yang berputus asa itu bukanlah disebabkan dirinya gagal dalam sesuatu perkara tetapi orang yang berputus asa itu adalah orang yang tidak mampu bangkit semula daripada kegagalannya.
Sebelum itu, ramai di antara kita yang tidak menyedari bahawa kita juga dibayar saguhati apabila kita menghantar surat pembaca dan ia disiarkan dalam sesebuah majalah. Contohnya,Dewan Sastera membayar RM80 untuk surat pembaca yang tersiar. Bayaran untuk Berita Bahasa dalam majalah Pelita Bahasa juga cukup lumayan, iaitu RM50 walaupun anda hanya menulis lima baris. Jika anda seorang wanita dan dan mengemukakan pertanyaan tentang dunia kecantikan kepada sesebuah majalah, anda mungkin akan dihadiahi set alat penjagaan kecantikan.
“ Bayangan kejayaan akan menjelma sekiranya penulis muda tidak mengaku kalah. Sifat mudah mengaku kalah sememangnya mudah. Yang sukarnya adalah untuk bangun semula selepas kekalahan itu. Penulis muda haruslah berpegang kepada prinsip biar kalah tetapi jangan mengalah.” Zaharuddin Abdul Rahman
Berapa royalti bagi sesebuah buku penulisan novel?
Harga sesebuah bagi buku adalah dijual sekitar RM10 hingga RM20 bagi novel sekitar 250 hingga 300 halaman. Pembayaran royalti adalah bergantung kepada perjanjian penerbitan. Ada penerbit yang menawarkan royalti sebanyak 7 peratus daripada harga buku. Ada yang menawarkan 10 peratus. Ada juga yang menawarkan RM20 bagi sebuah buku. Pulangannya adalah cukup lumayan. Jika cetakan pertama novel anda ialah 25,000 unit, dan anda mendapat sebanyak RM2 untuk setiap unit. Maka, anda mendapat royalti sebanyak RM50,000 jika buku anda laku kesemuanya. Ini tidak termasuk bagi cetakan pertama, kedua dan seterusnya. Jika anda mampu menyiapkan sebuah novel setiap tahun dan cetakan dua kali, dalam masa 10 tahun, anda akan menjadi jutawan.
Berikut merupakan contoh kadar royalti bagi penerbit PTS:
i. 7% daripada harga runcit buku (1 – 5,000 naskah yang terjual).
ii. 10% daripada harga runcit buku (5,001 – 10,000 naskah yang terjual).
iii. 11% daripada harga runcit buku (10,000 naskah ke atas yang terjual).
Berapa honorarium bagi sesebuah buku penulisan rencana?
Di Malaysia, terdapat lebih kurang 250 majalah dan akhbar yang kebanyakannya menyiarkan rencana. Dari segi bayaran, puratanya anda akan mendapat sekitar RM200 – RM250 sebuah. Sekiranya anda dapat menyiapkan rencana satu rencana seminggu dan empat rencana sebulan, anda akan mendapat pendapatan sampingan sebanyak RM1,000 sebulan. Anda boleh menghantar rencana kepada majalah ternama seperti Dewan Bahasa, Dewan Budaya, Dewan Masyarakat, Dewan Sastera ataupun akhbar utama seperti Utusan Malaysia atau Berita Harian.
Berapa honorarium bagi sesebuah buku penulisan cerpen?
Bagi penulis muda, anda akan dibayar honorarium sebanyak RM200 bagi majalah Dewan Sastera dan Pelita Bahasa. Untuk cerpen tema mudah seperti Mingguan Wanita pula, anda akan dibayar sebanyak RM60. Bagi akhbar utama pula seperti Berita Minggu dan Mingguan Malaysia, bayarannya ialah RM150 sebuah. Begitu juga dengan majalah terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. iaitu majalah URTV yang menerima RM150 bagi setiap cerpen yang disiarkan.
“When my second book “The Millionaire in Me” was released, the royalty cheques did not just double – they tripled! This is very nice, considering that I was doing what I loved – writing. So now, I have thirteen books which are all selling like pisang goreng. The royalty cheques have jumped like kangaroos on steroids. I eraned over RM750,000 from my books in 2004 and over RM1 million in 2005. These figures will only increase as the number of books increase.” Azizi Ali, Trainer Jutawan
Berapa honorarium bagi sesebuah buku penulisan puisi?
Bayaran untuk sebuah puisi adalah antara RM20 sehingga RM150 untuk setiap buah. Misalnya, majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka membayar RM100 untuk sebuah sajak yang tersiar. Akhbar Berita Minggu pula membayar RM20 sebuah. Begitu juga dengan Metro Ahad dengan bayaran RM20 bagi satu puisi yang tersiar. Majalah Dewan Siswa pula pernah membayar sebanyak RM25 dan RM30 sebuah.
Setakat ini dahulu perkongsian saya pada kali ini. Pekara ini boleh menjadi panduan kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi penulis ataupun ingin menjana pendapatan. Anda harus ingat bahawa sekiranya anda berkecimpung sesuatu, apabila anda mengejar kepuasan, wang akan datang dengan sendirinya. Jika anda mengejar wang, ada kemungkinan wang itu tidak akan datang kepada diri anda. Fikir-fikirkanlah.
Sekian, terima kasih.